Jurutera struktur, pengarah filem, menteri pendidikan: kanak-kanak perempuan di seluruh dunia mendedahkan kerjaya impian mereka

Tess Thomas  | 

career+spotlight.jpg

Di Brazil, Ana Gabriely yang berusia 15 tahun, mahu menjadi angkasawan dan menambah jumlah kaum perempuan di angkasa. Meshalini dari Malaysia mahu menjadi pengarah filem untuk menghasilkan lebih banyak filem yang menonjolkan lebih ramai golongan gadis dan wanita di layar perak. Dan Selamawit sedang belajar untuk menjadi pemaju aplikasi supaya dia dapat menjadi model peranan dalam bidang teknologi kepada gadis Etiopia yang lain.

Kesemua gadis ini mempunyai perancangan yang besar untuk diri mereka sendiri — dan dunia kita. Sempena Hari Wanita Antarabangsa, kami memutuskan untuk menghidupkan cita-cita mereka itu. 

Dibantu oleh ilustrator Joelle Avelino, kami bayangkan pembaca Assembly dalam kerjaya impian mereka. Daripada menyokong hak haiwan kepada membina empayar minyak zaitun, siri ilustrasi ini menunjukkan potensi hebat para gadis yang sungguh luar biasa apabila diberi peluang untuk belajar dan memimpin.


 
AnimalCarer2.gif
 

“Kerjaya impian saya adalah untuk menjadi pekerja penjaga haiwan dan aktivis hak haiwan. Saya juga mahu wujudkan perusahaan sosial yang berkaitan dengan kebajikan haiwan. Saya mahu capai semua ini kerana haiwan membuatkan saya berasa sangat gembira! Saya benci melihat cara ia dilayan, terutamanya dalam sesetengah budaya.”

— Muznah, 18, Pakistan


 
Structural-Engineer.gif
 

“Jurutera struktur kerana saya mahu bina semula negara asal saya iaitu Iraq. Saya mahu bantu pelarian seperti saya dan memastikan golongan kanak-kanak tidak tidur dalam cuaca sejuk beku lagi. Saya mahu beritahu satu dunia dan semua pelarian yang kita lebih kuat daripada peperangan dan semua benda yang dahsyat dan tidak berperikemanusiaan yang berlaku kepada kita.”

— Asifa, 19, Iraq


 
Astronaut_small.gif
 

“Kerjaya impian saya adalah untuk menjadi angkasawan kerana kawasan itu sentiasa didominasi oleh kaum lelaki. Saya mahu kaum perempuan tampil bersuara dengan berkata alam semesta ini tiada batasan.”

— Ana Gabriely, 15, Brazil


 
App-Developer.gif
 

“Saya sedang belajar dalam bidang sains komputer. Saya mahu jadi pembangun aplikasi dan web selepas saya terima ijazah saya kelak. Saya akan bangunkan teknologi yang dapat membantu negara saya, seperti aplikasi untuk menyokong pengajian pelajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Saya juga mahu jadi model peranan kepada golongan perempuan yang mahu menceburi bidang teknologi. Sepanjang saya membesar, saya tidak ada model peranan yang boleh dijadikan idola. Impian kita sebagai kanak-kanak dibentuk oleh bahan bacaan kita dan perkara yang kita lihat pada setiap hari.”

— Selamawit, 20, Etiopia


 
Filmmaker_small.gif
 

“Saya mahu jadi pengarah filem yang berjaya dan sebabnya adalah mudah: bagi golongan perempuan. Saya mahu buat filem bagi golongan gadis dan perempuan dan jadikan mereka pelakon utama dalam filem saya. Menonton filem ialah hobi kegemaran saya. Impian saya ialah orang ramai akan menonton filem saya pada satu hari nanti. Impian ini ialah sesuatu yang tidak dapat saya ucapkan dalam kata-kata.”

— Meshalini, 20, Malaysia 


 
MinisterOfEducation.gif
 

“Saya ingin jadi menteri pendidikan. Ramai kanak-kanak di negara saya tidak boleh pergi sekolah kerana krisis ekonomi dan politik yang dahsyat di Venezuela. Banyak sekolah ditutup kerana tiada wang untuk menguruskannya. Banyak juga sekolah yang meminta ibu bapa untuk mengajar kerana ramai guru sudah berhenti kerja. Sebagai kanak-kanak, kami juga mahukan pendidikan seperti orang lain. Kami mahu perkara ini dihentikan supaya kita dapat bina masa depan yang lebih baik. Saya mahu jadi menteri pendidikan supaya setiap kanak-kanak dapat menerima pendidikan yang baik dan tidak perlu menderita seperti keadaan yang kami alami sekarang.”

— Fabiana, 14, Venezuela 


 
OliveOilFarm.gif
 

“Kerjaya impian saya adalah untuk memulakan syarikat yang berasaskan pokok zaitun. Semasa saya masih kecil, ibu bapa saya membeli banyak tanah untuk menanam pokok zaitun. Sekarang, salah satu matlamat terbesar saya adalah untuk menguruskan kesemua ladang itu, mungkin beli lebih banyak ladang dan mulakan sebuah syarikat. Saya ingin jual minyak zaitun, buah zaitun dan pelbagai produk yang menggunakan zaitun di seluruh dunia! Untuk mencapai impian ini dari segi kewangan, saya akan jadi ahli farmasi. Walaupun saya belum tahu cara untuk menguruskan semua ini, saya pasti saya akan belajar pada suatu masa dalam kehidupan saya. Saya yakin pada kebolehan saya sendiri!”

— Öykü, 17, Turki


 
Surgeon.gif
 

“Saya mahu jadi doktor pakar bedah saraf pediatrik kerana saya mahu selamatkan nyawa kanak-kanak kerana mereka ialah masa depan kita. Saya juga mahu tunjukkan kepada orang lain bahawa tidak mustahil untuk menjadi doktor wanita berkulit hitam dalam bidang neurologi.”

— Jonté, 19, A.S. 

flower.png
Meet the Author
Meet the Author
Tess Thomas

is the former editor of Assembly. She loves books, cats and french fries.